Photobucket

Dakwah dengan Hikmah bukan dengan Hukum

>> Friday, May 1, 2009

Di dalam Al-Quran kita akan berjumpa kisah nabi Harun a.s yang telah diamanahkan oleh nabi Musa untuk membimbing Bani Israil semasa ketiadaannya kerana beruzlah selama 40 hari untuk menerima wahyu dan ajaran dari Allah taala.

Ketika itu, berlaku fitnah di kalangan Bani Israil iaitu sebahagian besar dari mereka terjerumus ke dalam amalan syirik dengan menyembah patung anak lembu, sedangkan nabi Harun berada bersama mereka.

Nabi Harun sempat berpesan kepada Bani Israil memperingatkan mereka akan ajaran nabi Musa a.s tetapi pesanannya itu tidak diendahkan. Lalu kekallah nabi Harun bersama kaumnya pasrah terhadap syirik yang berlaku, menanti kepulangan nabi Musa a.s.

Apabila nabi Musa kembali, beliau menjadi marah melihat keadaan kaumnya yang telah tersesat dan terus menerpa kepada nabi Harun seraya “Apakah kau tidak lagi mengikuti aku dan mengengkari ajaranku?”

Harun lalu menjawab “Hai putera ibuku! Janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku khawatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku) ‘Kamu telah memecahkan antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku.” Rujuk kisah di atas pada Surah Taha : 77 – 94.

Dalam kisah yang ringkas ini terdapat banyak ajaran bagi kita selaku para pendakwah.

1. Apabila berhadapan dengan satu situasi yang tidak disukai, carilah penjelasan dahulu sebelum terus menghukum atau menyerang pihak-pihak tertentu. Sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Musa a.s meminta penjelasan dari nabi Harun a.s.

2. Mengapakah nabi Harun a.s membiarkan pasrah dengan keadaan, setelah memberi teguran? Adakah beliau pengecut untuk mencegah kemungkaran dengan tangannya? Mengapakah tidak sahaja beliau menghukum mereka yang sesat atau memerangi mereka bagi mencegah syirik sebagaimana Abu Bakr r.a memerangi golongan yang murtad? Dalam jawaban beliau terhadap pertanyaan nabi Musa jelas menunjukkan alasan beliau iaitu untuk mengelakkan daripada dituduh menyebabkan perpecahan di kalangan Bani Israil. Beliau membiarkan keadaan sehingga kepulangan nabi Musa a.s agar dia melihat sendiri keadaan dan membuat keputusan mengenainya. Dengan itu, menjaga dirnya dari salah sangka oleh nabi Musa a.s. Beliau berpendapat bertindak keras dan tegas pada ketika itu hanya akan menyebabkan kemungkaran yang besar dan menghilangkan maslahah yang lebih besar pula. Beliau tidak bertindak seperti Abu Bakr r.a kerana konteks yang dihadapinya berbeza.

3. Jelas sekali dari kisah ini bahawa berdiam semata-mata dalam sesuatu isu, atau tidak menyampaikan kebenaran secara jelas semata-mata, atau berdiam terhadap kemungkaran yang berlaku sahaja tidak memadai untuk seseorang itu dihukum atau dilabel atau ditohmah sebagai pengecut atau bersekongkol dengan kemunkaran atau mengabaikan amanah dakwah atau menjual agamanya dengan harga dunia yang kecil.


4. Kisah ini juga mengajar bahawa kadangkala meninggalkan sesuatu yang makruf itu dibenarkan demi mengelakkan kemungkaran yang lebih besar, atau kadangkala berdiam diri terhadap sesuatu itu dibenarkan demi maslahah yang lebih besar juga.

Apa yang hendak dinyatakan di atas bukanlah untuk menjustifikasikan sikap berdiam diri tetapi tujuan utamanya ialah untuk mengambil iktibar agar kita tidak cepat menghukum seseorang dengan pelbagai label dan hukuman yang negatif, atas andaian atau persepsi bahawa ia tidak membuat apa-apa kenyataan dalam isu tertentu atau ia wujud di tengah-tengah kemungkaran dan dilihat pasrah dan berdiam sahaja.

Meninjau isu-isu yang melanda masyarakat kebelakangan ini, menyedarkan kita betapa kadangkala cepatnya sebahagian dari manusia membuat hukuman dan melabel seseorang itu dengan label dan hukuman yang ia sendiri sebenarnya tidak suka untuk dilabel atau dihukum sedemikian.

Tidak dinafikan, seseorang yang bersuara dengan kebenaran secara hikmah lebih baik dari mereka yang memilih dari berdiam. Namun demikianlah indahnya Al-Quran. Ia wujud sesuai untuk pelbagai jenis manusia yang berbeza keupayaan dan konteks kehidupannya.

Meneliti hukum Islam, kita akan memahami bahawa di sana ada hukum azimah (asal) dan hukum rukhsah (keringanan). Allah taala memberi kelonggaran kepada umat Islam untuk memilih mana satu dari kedua tadi yang hendak diamalkannya. Sesiapa yang memilih untuk mengambil hukum rukhsah setelah memenuhi syarat-syaratnya, maka tiada kecelaan terhadapnya. Contoh dalam hal ini ialah kisah Ammar bin Yasir dan ibunya. Ammar dan ibunya disiksa kerana menganut agama Islam. Manakala Ammar memilih untuk mengambil rukhsah dengan memaki nabi Muhammad s.a.w, ibunya pula memilih untuk mengambil hukum azimah sehingga terkorban mempertahankan agamanya. Perbuatan Ammar dibenarkan oleh Allah taala dan ibunya pula diakui sebagai seorang syahidah. Ammar tidak dilabel sebagai pengecut kerana memilih rukhsah. Ibunya pula tidak dilabel sebagai bodoh kerana istiqamah terhadap pendiriannya.

Kedua-duanya itu dibenarkan atas dasar konteks masing-masing.

Alangkah jauhnya kita hari ini yang sering kali sibuk dengan menghukum dan menilai pendirian orang lain. Kita mempersoalkan sikap seseorang yang tidak bersuara, melabel pandangan seseorang yang tidak sejajar dengan pandangan kita tanpa benar-benar memahami konteks orang berkenaan dan kisah-kisah di atas.

Bukan pula tujuan tulisan ini untuk menidakkan keperluan saling memberi peringatan atau menasihati kerana takut sahabat kita itu tersilap atau terlalai. Namun kita haruslah jelas bahawa memberi peringatan dan nasihat itu berbeza dari melabel dan menghukum. Manusia yang waras pastinya mengetahui hakikat ini. Berilah nasihat tetapi jauhilah nasihat kita dari nada-nada sinis dan sindiran-sindiran yang melabel dan menghukum seseorang kecuali kita ada bukti yang jelas untuk menyatakan sedemikian.

Apatah pula bahawa hakikatnya kita tidak dipersoalkan oleh Allah taala terhadap apa yang orang lain buat atau tidak buat dan apa yang orang lain cakap atau tidak cakap tetapi yang terbeban dibahu kita ialah apa yang telah kita lakukan atau tidak lakukan dan apa yang kita cakap atau membisu.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Joy by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP